Welcome to my world~

欢迎光临寒舍~ 哈哈……很有古代的feel吧?

Saturday, 18 July 2009

Si tamak

Baiklah, saya mengaku, saya ini, memang tamak. Jikalau orang lain dalam situasi saya, rasanya 98% akan berasa amat gembira dan berterima kasih kepada Tuhan untuk apa yang telah dianugerahkan. Tetapi, saya menggunakan air mata saya tidak henti-henti sebagai balasan kepada-Nya. Hal ini membuatkan saya lebih benci kepada diri sendiri. Mempunyai kesedaran tentang apa yang sepatutnya dibuat kadang kala memberi perasaan pilu.

Pepatah Inggeris yang berbunyi "rumput di sebelah pagar lebih hijau" atau pepatah Bahasa Cina yang berbunyi "bulan di luar negara lebih bulat", manakah yang lebih sesuai menggambarkan pemikiran saya? Entahlah...

Sekarang ini, entah perkataan apa yang paling sesuai untuk merumuskan keadaan saya. Saya seharusnya bersyukur kerana Tuhan bukan sahaja telah mengurniakan saya badan yang sihat, minda yang cergas, tetapi juga peluang untuk merealisasikan impian saya. Mengapakah saya masih berasa murung? Hanya satu penjelasan : saya ini, homosapiens yang tamak.

Saya asyik menyesal tidak mengambil inisiatif untuk pergi ke KL dua tahun yang lalu untuk membuat A-levels. Saya hanya memikirkan kalaulah saya pergi, mesti saya lebih dekat dan kemungkinan besar dapat belajar undang-undang di UK. Saya telah lupa bahawa dua tahun tingkatan enam di Methodistlah yang berjaya membawa saya berdiri di pentas nasional, sesuatu yang saya ingat tidak akan berlaku dalam hidup saya lagi selepas tamat tingkatan 5. Tingkatan 6 jugalah yang memberi saya peluang menjadi EXCO Lembaga Pengawas yang benar-benar melatih saya untuk dunia dewasa. Itu juglah masa saya mula belajar taekwondo yang selama ini tidak pernah dibenarkan oleh emak saya. Saya telah mula berkhidmat sebagai pembantu di gereja, semasa kedua-dua sesi Bahasa Cina dan Bahasa Melayu. Banyak hal yang dipelajari, banyak pengalaman yang ditimba, banyak kawan yang ditemukan. Bukan itu sahaja, saya telah dinamakan Pelajar Mithali 2008, penganugerahan yang langsung tidak disangkakan. Tahun ini, saya telah diberi peluang untuk bekerja sebagai guru sandaran tidak terlatih. Pelajar yang pelbagai ragam terpaksa saya hadapi. Cara berinteraksi dengan guru-guru lain mesti dipelajari agar tidak menyakiti hati sesiapa. Persediaan pengajaran dan kertas ujian dilakukan tanpa banyak bantuan. Semua ini, tanpa saya sedari, dijayakan dengan berkat Tuhan yang Maha-Esa. Saya tidak memberi kredit yang secukupnya kepada Tuhan, sebaliknya merungut tentang apa yang tidak dikecapi. Saya berasa amat teruk sekali.

Emak saya berkata: "Tuhan tidak akan membawa anak-Nya melalui rintangan yang tidak dapat diharungi. Terimalah apa yang dikurniakan dengan hati yang syukur."

Saya bersalah kerana dalam kehidupan seharian, saya telah meletakkan keinginan saya di depan kehendak Tuhan. Saya tidak berterima kasih cukup atas penganuregahan-Nya tetapi hanya bersungut apabila sesuatu hal tidak mengikuti rancangan saya. Saya tidak rela meletakkan kehidupan saya sepenuhnya dalam tangan-Nya kerana khuatir saya tidak diberi apa yang diminta. Saya lupa Dia-lah pencipta dunia, Dia-lah penentu nasib.

Setelah lama berada dalam laut bergelora, rasanya tibalah masa saya untuk berenang balik ke pangkuan-Nya. Saya perlukan masa untuk "membetulkan" pemikiran saya yang bias sedikit (atau sememangnya bias dengan amat banyak?). Saya perlukan keberanian untuk percaya sepenuhnya bahawa rencana Tuhan untuk saya merupakan jalan yang paling baik.


Sebuah lagu untuk dinikmati : Betapa Hatiku

Betapa hatiku Tuhan
Berterima kasih Yesus
Kau mengasihiku Tuhan
Kau memilikku

Hanya ini Tuhan persembahanku
Segenap hidupku, jiwa dan ragaku
S'bab tak kumiliki harta kekayaan
Yang cukup bererti tuk kupersembahkan

Hanya ini Tuhan permohonanku
Terimalah Tuhan persembahanku
Pakailah hidupku sebagai alat-Mu
Seumur hidupku

Wahai kawan, silalah terus berdoa agar saya dapat menghadapi masa depanku yang bisanya pernah dengan liku-liku hidup dengan hati yang tabah. Nescaya dengan kasih sayangmu, saya akan berjaya. Saya juga akan mengingati anda dalam doaku.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

What time is it now? 童鞋,记住:一寸光阴一寸金~

Canberra

Sibu